Jangan Jadikan Johor dan Melaka Mangsa Politik Murahan

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari, yang mendakwa rakyat Johor Utara “melimpah” ke Melaka sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat negeri itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Pegawai Khas kepada Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahridhan Shaharan.


Menerusi satu hantaran di Facebook, Shahridhan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja memberi gambaran negatif terhadap Johor, malah seolah-olah cuba mewujudkan persepsi bahawa hubungan erat antara rakyat Johor dan Melaka sedang berdepan masalah yang sebenarnya tidak pernah wujud.

Menurut beliau, Johor khususnya kawasan utara seperti Muar mempunyai sejarah, identiti dan kekuatan ekonominya yang tersendiri. Sebagai Bandar Diraja Johor, Muar bukan sekadar sebuah daerah biasa, malah menjadi simbol kemajuan, warisan dan kebanggaan Bangsa Johor.

Beliau berpandangan bahawa kenyataan yang menggambarkan rakyat Johor terpaksa berhijrah kerana kekurangan peluang di negeri sendiri secara tidak langsung memberi persepsi bahawa Johor gagal menyediakan kehidupan yang baik kepada rakyatnya. Hakikatnya, Johor kekal sebagai antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dan terus mencatat pertumbuhan pelaburan yang memberangsangkan.

Shahridhan turut mempersoalkan mesej sebenar yang cuba disampaikan oleh Adly Zahari. Jika benar dakwaan tersebut merujuk kepada kegagalan Johor menyediakan peluang kepada rakyatnya, ia bukan sahaja menyentuh reputasi pentadbiran negeri, malah boleh ditafsirkan sebagai memperkecilkan usaha pelbagai pihak yang selama ini bekerja keras membangunkan Johor.

Tiada kajian dibuat, hanya modal ceramah politik

Dalam masa yang sama, beliau menolak dakwaan kononnya rakyat Melaka tidak menyenangi kehadiran warga Johor yang menetap atau bekerja di negeri itu. Katanya, hubungan antara kedua-dua negeri telah terjalin sejak sekian lama melalui aktiviti perdagangan, pendidikan, pekerjaan dan hubungan kekeluargaan yang merentasi sempadan negeri.


“Johor dan Melaka tidak pernah dipisahkan oleh sentimen kebencian. Yang wujud ialah hubungan persaudaraan, kerjasama ekonomi dan saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Shahridhan, sejak dahulu lagi rakyat kedua-dua negeri bergerak bebas mencari peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan tanpa pernah melihat perkara tersebut sebagai ancaman. Ramai rakyat Melaka bekerja di Johor, manakala ramai rakyat Johor membina kerjaya dan kehidupan di Melaka. Hubungan itu menjadi bukti kekuatan integrasi antara negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau turut menyifatkan cubaan membawa naratif yang boleh menimbulkan salah faham antara Johor dan Melaka sebagai langkah yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Dalam suasana politik yang semakin mencabar, rakyat lebih mengharapkan perbahasan mengenai dasar, pembangunan dan penyelesaian masalah sebenar berbanding kenyataan yang berpotensi mengundang perpecahan.

Shahridhan berpandangan bahawa Johor dan Melaka hari ini sepatutnya dilihat sebagai rakan strategik dalam pembangunan wilayah selatan negara. Kedua-dua negeri saling berkongsi manfaat daripada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur serta hubungan perdagangan yang semakin kukuh.

Katanya, hubungan erat yang terbina sejak berpuluh tahun tidak seharusnya dijadikan bahan kempen politik demi meraih sokongan jangka pendek.

“Rakyat Johor dan Melaka cukup matang untuk menilai. Mereka tidak mahu politik yang memecah-belahkan hubungan yang telah lama terjalin. Mereka mahukan pemimpin yang menawarkan penyelesaian, bukan mencipta persepsi dan polemik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa masa depan Johor dan Melaka bergantung kepada kestabilan, kerjasama serta kepimpinan yang memberi fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat, bukannya kepada naratif politik yang berasaskan sentimen dan persepsi yang boleh menghakis hubungan baik antara dua negeri berjiran itu.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)