Mengapa krisis Negeri Sembilan yang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan negeri akhirnya cuba dibebankan kepada UMNO-BN?
Jika PH menerajui kerajaan negeri dan Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar yang mempunyai kuasa pentadbiran, akses kepada institusi berkaitan serta tanggungjawab menjaga kestabilan negeri, mengapa pihak lain pula yang dijadikan sasaran utama?
Rakyat bukan sekadar mahu melihat siapa yang dipersalahkan. Rakyat mahu mengetahui siapa yang bertanggungjawab.
Krisis ini tidak berlaku dalam tempoh sehari. Ia berkembang secara berperingkat sehingga menjadi polemik nasional yang mengheret institusi adat, pentadbiran negeri serta politik ke dalam satu gelanggang yang sama. Dalam keadaan sebegitu, peranan Menteri Besar sepatutnya menjadi jambatan yang meredakan keadaan, bukannya sekadar membiarkan keadaan terus berlarutan sehingga menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi negeri.
Aminuddin Harun mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk menjadi pendamai. Beliau ialah ketua kerajaan negeri. Kedudukan itu menuntut kebijaksanaan menyatukan pihak-pihak yang bertelagah serta memastikan kestabilan negeri terus dipelihara. Malangnya, persepsi yang terbentuk sepanjang krisis ini berlangsung adalah sebaliknya.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai kenyataan dan naratif yang beredar di media sosial dilihat semakin memihak kepada satu pihak tertentu. Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila individu yang dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan negeri turut dilihat terikut dengan naratif yang gagal menampilkan sikap berkecuali.
Akibatnya, muncul pelbagai sindiran di pentas politik termasuk gelaran "Undang Loke" yang tular di media sosial. Sindiran itu tidak muncul secara kebetulan. Ia lahir daripada persepsi bahawa terdapat kecenderungan politik dalam isu yang sepatutnya dikendalikan dengan penuh berhati-hati dan berkecuali.
Lebih memburukkan keadaan, dakwaan dari pegawai Aminuddin bahawa jawatan Undang telah kosong turut disebarkan secara meluas walaupun perkara tersebut masih menjadi pertikaian dan belum dimuktamadkan melalui proses yang sewajarnya. Mengapa dakwaan seperti itu boleh berkembang tanpa penjelasan yang tegas daripada kerajaan negeri? Mengapa pentadbiran negeri gagal memadam kekeliruan sebelum ia menjadi krisis yang lebih besar?
Kronologi krisis ini menunjukkan bahawa masalah tersebut tidak muncul secara tiba-tiba. Pertikaian yang pada awalnya melibatkan institusi adat berkembang menjadi perdebatan terbuka apabila pelbagai tafsiran mengenai kedudukan dan status institusi berkaitan mula disebarkan kepada umum. Kekeliruan semakin meningkat apabila naratif yang bercanggah bergerak lebih pantas daripada penjelasan rasmi.
Ketika rakyat menunggu penyelesaian, krisis terus berpanjangan. Tumpuan awam beralih daripada usaha mencari jalan keluar kepada usaha mencari pihak yang boleh dipersalahkan. Akhirnya, Negeri Sembilan memasuki fasa pembubaran Dewan Undangan Negeri dalam suasana yang masih dipenuhi persoalan yang belum terjawab.
Apa yang lebih membimbangkan ialah kemunculan naratif politik baharu yang didakwa sedang dimainkan oleh sebahagian jentera kempen.
Antara mesej yang beredar ialah dakwaan bahawa, "Kalau BN menang, Jalal jadi MB. Kalau PN menang, Danni anak Rais Yatim jadi MB. Dan mereka akan nescaya angkat Yamtuan baharu."
Ini dakwaan jahat dan sengaja direka untuk meraih sokongan.
Atas asas apa kesimpulan tersebut dibuat?
Siapa yang memberikan jaminan mengenai pelantikan Menteri Besar sebelum rakyat membuat keputusan di peti undi?
Lebih penting, mengapa institusi Yang di-Pertuan Besar turut dibawa masuk ke dalam kempen politik sehingga menimbulkan tanggapan bahawa kedudukan institusi tersebut boleh ditentukan melalui percaturan parti politik?
Naratif seperti ini bukan sahaja berisiko mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengheret institusi yang sepatutnya dihormati ke dalam gelanggang politik kepartian. Dalam keadaan negeri sedang berdepan krisis yang memerlukan kebijaksanaan dan ketenangan, penyebaran dakwaan yang tidak disokong oleh fakta hanya menambahkan kekeliruan.
Rakyat berhak bertanya sama ada kempen seperti ini bertujuan menjelaskan keadaan sebenar atau sekadar menimbulkan ketakutan bagi mendapatkan keuntungan politik.
Adakah kerajaan negeri gagal mengawal naratif yang mengelirukan rakyat?
Atau adakah naratif tersebut dibiarkan berkembang bagi mengalihkan perhatian daripada kegagalan sebenar yang berlaku di bawah pentadbiran mereka?
Tiada siapa mampu menafikan bahawa krisis ini berlaku ketika PH memegang tampuk pentadbiran negeri. Tiada siapa juga mampu menafikan bahawa tanggungjawab menjaga kestabilan negeri terletak di bahu kerajaan yang memerintah.
Krisis ini bukan sekadar menguji institusi adat Negeri Sembilan.
Krisis ini sedang menguji kredibiliti kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
Semakin kuat usaha mengalihkan perhatian kepada pihak lain, semakin besar tanda tanya yang timbul mengenai apa yang sebenarnya gagal diuruskan oleh mereka yang sedang memegang kuasa.
