Aminuddin Pilih Orangnya, Akar Umbi Dipinggirkan

Melaka Digest
By -
0

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kini berdepan persoalan besar mengenai cara calon-calonnya dipilih untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). Daripada barisan yang diketengahkan, timbul persepsi bahawa sebahagian calon PKR bukanlah pilihan akar umbi, sebaliknya individu yang mendapat restu kepimpinan negeri di bawah Datuk Seri Aminuddin Harun.


Persepsi itu semakin kuat apabila sekurang-kurangnya enam calon PKR yang diberikan tiket bertanding dilaporkan tewas dalam pemilihan parti pada 2025 di cabang masing-masing.

Kekalahan dalam pemilihan dalaman sememangnya tidak bermaksud seseorang itu tidak layak menjadi calon pilihan raya. Namun, apabila terlalu ramai individu yang gagal memperoleh mandat anggota sendiri tetap diberikan tiket, maka ianya bukan lagi untuk kepentingan parti tetapi untuk kepentingan peribadi.

Adakah pemilihan parti sekadar pertandingan organisasi yang tidak membawa sebarang makna dalam penentuan calon? Apakah kekuatan akar umbi, penerimaan anggota dan kemampuan menggerakkan jentera langsung tidak menjadi pertimbangan?

Atau adakah hubungan dengan kelompok kepimpinan tertentu lebih penting daripada suara ahli di peringkat cabang?

Penganalisis politik, Muhammad Afifi Abdul Razak, menegaskan bahawa persoalan tersebut perlu dijawab kerana jentera parti merupakan tulang belakang kepada setiap kempen pilihan raya.

Individu yang memenangi pemilihan cabang lazimnya memiliki rangkaian anggota, pengaruh tempatan dan kemampuan menggerakkan sukarelawan. Mereka bukan sekadar memegang jawatan dalam parti, tetapi menjadi penghubung antara kepimpinan dengan akar umbi.

Apabila pemimpin yang mendapat mandat anggota diketepikan, sedangkan individu yang tewas pula diberikan tiket, keputusan itu berpotensi menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

“Penyokong mungkin menjadi pasif, memboikot secara senyap atau sekadar menjalankan kempen secara minimum,” katanya.

Antara calon yang menjadi perhatian ialah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Siti Aishah Seman @ Othman, yang tewas dalam pertandingan Ketua Cabang Tampin.

Calon DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim, pula kalah dalam pertandingan Ketua Cabang Seremban, manakala calon DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, tewas dalam pertandingan Ketua Cabang Rasah.

Di Kuala Pilah, Mohd Aidil Abdullah kalah dalam pertandingan Ketua Cabang. Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa pula tewas dalam pertandingan Timbalan Ketua Cabang, manakala Datuk Nur Zunita Begum Mohd Ibrahim kalah dalam pertandingan Ketua Wanita Cabang.

Sudah tentu corak pengundian dalam pemilihan parti berbeza daripada pilihan raya negeri. Seseorang calon mungkin tidak cukup kuat dalam kalangan anggota parti, tetapi mempunyai penerimaan yang lebih luas dalam kalangan masyarakat umum.

Namun, alasan itu tidak boleh digunakan untuk menutup persoalan yang lebih besar.

Apabila individu yang ditolak dalam pemilihan parti dipilih secara beramai-ramai untuk mewakili parti dalam pilihan raya, ia memberi gambaran bahawa keputusan akar umbi boleh diketepikan sesuka hati oleh kepimpinan.

Jika suara anggota tidak dihormati dalam soal sebesar pemilihan calon, apakah makna sebenar demokrasi dalaman yang sering dilaungkan oleh PKR?

Lebih membimbangkan, pemilihan calon seperti ini boleh mencetuskan persepsi bahawa kesetiaan kepada pemimpin tertentu lebih utama daripada rekod khidmat, kekuatan jentera dan mandat anggota.

Calon yang terlalu bergantung kepada restu kepimpinan juga berisiko menjadi lebih setia kepada individu yang memilihnya berbanding rakyat yang mengundinya.

Di sinilah Aminuddin perlu memberikan penjelasan.

Adakah calon-calon tersebut dipilih kerana benar-benar mempunyai kemampuan terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat atau kerana mereka dianggap lebih selamat untuk mempertahankan kedudukan politik beliau dalam PKR dan PH Negeri Sembilan?

Pilihan raya tidak dimenangi hanya dengan nama besar, jawatan atau arahan dari atas. Kemenangan dibina melalui penerimaan pengundi, kesatuan jentera dan keyakinan anggota bahawa suara mereka dihormati.

Keputusan PKR kali ini telah meninggalkan luka kepada akar umbi dan terlalu banyak persoalan kepada rakyat.

Aminuddin juga tidak boleh sekadar meminta anggota parti menerima keputusan tersebut atas nama disiplin. Beliau perlu menjelaskan mengapa mereka yang mendapat mandat ahli diketepikan, sedangkan mereka yang tewas diberikan laluan untuk menjadi calon.

Rakyat berhak mengetahui sama ada calon-calon yang dipertaruhkan benar-benar dipilih untuk membawa suara masyarakat atau sekadar disusun bagi mengukuhkan pengaruh seorang pemimpin.
 
Jadi, Aminuddin memilih calon untuk rakyat atau memilih orangnya sendiri demi memastikan beliau terus kekal sebagai orang nombor satu dalam PH Negeri Sembilan?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)