LRT3: Rakyat Menanggung Harga Esok?

Melaka Digest
By -
0

Hari kedua LRT3 beroperasi sudah cukup untuk mencetuskan hiruk. Media sosial dipenuhi gambar dan video tren yang sesak pada waktu puncak, sekali gus mengundang persoalan sama ada sistem yang dibina hari ini benar-benar bersedia menampung keperluan rakyat pada masa hadapan.


Apa yang menarik, hiruk ini bukan sekadar mengenai kesesakan. Ia membawa kembali perhatian kepada keputusan semakan semula projek LRT3 pada tahun 2018 yang menyaksikan kos pembinaan dikurangkan daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion. Dari sudut fiskal, angka itu dilihat sebagai satu penjimatan yang besar. Namun dalam projek pengangkutan awam, persoalan yang lebih penting ialah sama ada penjimatan tersebut memberi kesan kepada kapasiti dan pengalaman pengguna apabila sistem mula beroperasi.

Semakan semula projek ketika itu melibatkan beberapa perubahan utama. Bilangan tren dikurangkan daripada 42 set tren enam koc kepada 22 set tren tiga koc. Lima stesen yang melibatkan Tropicana, Temasya, Raja Muda, Bukit Raja dan Bandar Botanik ditangguhkan sebelum diumumkan semula pada tahun 2024. Saiz beberapa stesen dikecilkan, platform dibina untuk operasi tren tiga koc, manakala sebahagian reka bentuk kejuruteraan turut diubah bagi mengurangkan kos keseluruhan.

Semua keputusan itu dibuat dengan alasan kononnya rasional kewangan. Namun persoalan yang kini dibangkitkan oleh sebahagian pengguna ialah sama ada ruang kapasiti yang dikurangkan ketika pembinaan menyebabkan pengalaman perjalanan menjadi kurang selesa apabila permintaan mula meningkat.

Lojiknya, penjimatan kos ialah matlamat yang sah tetapi manfaatnya perlu diukur bersama kualiti perkhidmatan yang diterima oleh pengguna. Infrastruktur awam bukan sekadar berjaya apabila kos pembinaannya lebih rendah tetapi apabila ia mampu berfungsi dengan baik sepanjang hayat perkhidmatannya.

BACA apa titah baginda Tuanku Sultan Selangor:

“Apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 ini tergendala lebih 18 bulan, dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021. Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama penasihatnya Tony Phua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan projek ”Mega” sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat. Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta.

Ketika Kementerian Kewangan (MOF) di bawah pentadbiran Guan Eng (DAP) dan Tony Phua (DAP) juga, saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan. Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga telah dibatalkan.”
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)