Mengundi Hari Sabtu: Anwar Berbohong

Melaka Digest
By -
0

Sejak kempen PRN Johor bermula, Perdana Menteri cuba membina satu naratif baharu dan mengelirukan. Kononnya rakyat disusahkan kerana hari mengundi ditetapkan pada hari Sabtu dan bukannya Ahad. Malah beliau turut mempersoalkan mengapa pengundian dibuat pada awal bulan, bukan hujung bulan ketika rakyat sudah menerima gaji.


Bunyi kenyataan itu mungkin sedap didengar di pentas ceramah. Masalahnya, ia tidak selari dengan rekod pilihan raya negara sendiri.


Hakikatnya, hari Sabtu sudah lama menjadi amalan dalam pilihan raya Malaysia. 
 
PRN Johor – 12 Mac 2022 (Sabtu)
PRU15 – 19 November 2022 (Sabtu)
PRN Enam Negeri – 12 Ogos 2023 (Sabtu)
PRK Kuala Kubu Baharu – 11 Mei 2024 (Sabtu)
PRK Nenggiri – 17 Ogos 2024 (Sabtu)
PRK Mahkota – 28 September 2024 (Sabtu)
PRN Sabah – 29 November 2025 (Sabtu)
PRN Johor – 11 Julai 2026 (Sabtu)

Adakah Anwar lupa?

Mengapa selama ini tidak pernah kedengaran bantahan daripada Perdana Menteri? Mengapa tiada ucapan bahawa rakyat dizalimi apabila PRU15 dibuat pada hari Sabtu? Mengapa tidak timbul isu awal bulan ketika pilihan raya-pilihan raya terdahulu?

Jawapannya hanya diketahui oleh beliau sendiri.

Lebih menghairankan, cubaan meletakkan kesalahan kepada BN Johor langsung tidak berasaskan fakta.

BN Johor tidak mempunyai kuasa menetapkan tarikh pilihan raya.

Tarikh penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengikut Perlembagaan dan undang-undang negara, bukannya oleh Menteri Besar Johor atau BN Johor.

Malah, SPR dari sudut pentadbiran dan peruntukan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jadi jika benar Perdana Menteri berpendapat sistem penetapan tarikh itu tidak sesuai, beliau sepatutnya terus bertanyakan kepada SPR, bukannya cuba mencipta persepsi bahawa BN Johor menjadi punca kesusahan rakyat.

Apabila semua pilihan raya sebelum ini berlangsung pada hari Sabtu tanpa bantahan, tetapi PRN Johor tiba-tiba dianggap tidak adil, rakyat berhak bertanya sama ada isu sebenar ialah hari mengundi, atau keresahan politik menjelang pilihan raya.

Lebih membimbangkan apabila fakta asas mengenai proses pilihan raya diputar sehingga seolah-olah kerajaan negeri mempunyai kuasa menentukan tarikh pengundian. Sedangkan kuasa itu tidak pernah berada di tangan BN Johor.

Bangsa Johor tidak memerlukan alasan yang berubah-ubah mengikut musim pilihan raya.

Mereka memerlukan kepimpinan yang konsisten.

Jika hari Sabtu bukan masalah pada PRU15, bukan masalah pada enam PRN, bukan masalah pada beberapa pilihan raya kecil, mengapa tiba-tiba ia menjadi masalah hanya apabila Johor kembali ke medan demokrasi?

Itulah persoalan yang sehingga hari ini masih belum dijawab.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)