Selama bertahun-tahun, rakyat disuapkan dengan satu naratif mudah, Tabung Haji kononnya rosak di bawah pentadbiran Barisan Nasional, sebelum diselamatkan oleh Pakatan Harapan selepas mengambil alih kerajaan pada 2018.
Istilah seperti “skandal kewangan”, “kerugian berbilion ringgit”, “aset bermasalah” dan “bail-out menggunakan wang rakyat” diulang sehingga Pelan Pemulihan Tabung Haji pada 2019 diterima sebagai satu-satunya jalan menyelamatkan institusi simpanan umat Islam itu.
Namun, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku.
Bagaimana jika pelan yang dipromosikan sebagai penyelamat itu sebenarnya telah memindahkan Tabung Haji daripada memiliki aset nyata kepada bergantung pada sukuk, jaminan dan janji pembayaran kerajaan?
Di bawah Pelan Pemulihan tersebut, Tabung Haji memindahkan aset bernilai RM9.73 bilion kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd., sebuah syarikat tujuan khas di bawah Kementerian Kewangan.
Sebagai balasan, Tabung Haji sepatutnya menerima tunai dan sukuk bernilai sekitar RM27.8 bilion.
Di atas kertas, urus niaga itu kelihatan sangat lumayan. Tabung Haji menyerahkan aset hampir RM10 bilion, tetapi dijanjikan instrumen kewangan bernilai hampir tiga kali ganda.
Perbezaan tersebut sepatutnya disokong melalui bayaran tunai awal RM500 juta dan suntikan kerajaan sebanyak RM1.73 bilion setahun selama 10 tahun.
Memang kelihatan seperti satu “best deal”.
Masalahnya, sesuatu perjanjian hanya dianggap baik apabila janji di atas kertas benar-benar diterjemahkan kepada pembayaran sebenar.
Menurut perenggan 3.13.49 laporan RCI, bayaran tunai yang diterima Tabung Haji setakat laporan itu disediakan hanyalah RM500 juta, berbanding aset RM9.73 bilion yang telah dipindahkan.
RCI turut merekodkan bayaran tertunggak sebanyak RM27.5 bilion yang akan matang dalam tempoh tujuh tahun bagi Sukuk Siri 1 dan 10 tahun bagi Sukuk Siri 2.
Aset telah diserahkan. Tunai yang diterima pula amat kecil. Selebihnya bergantung kepada janji pembayaran pada masa hadapan.
RCI berpandangan keputusan Jemaah Menteri untuk menyediakan suntikan tahunan RM1.73 bilion adalah wajar, terutama bagi mengurangkan risiko penebusan sukuk secara sekali gus apabila sampai tempoh matang.
Komitmen tahunan itu bukan sekadar tambahan pilihan. Ia merupakan bahagian penting dalam memastikan kerajaan mempunyai kecairan mencukupi untuk memenuhi tanggungannya kepada Tabung Haji.
Tanpa bayaran tersebut, beban akan terus terkumpul sehingga tiba tarikh matang, ketika kerajaan perlu menyediakan jumlah yang amat besar dalam satu masa.
Namun, suntikan RM1.73 bilion setahun yang menjadi asas kepada pelan tersebut tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
Di sinilah persoalan ‘keadilan’ timbul.
Tabung Haji telah menyerahkan aset nyata yang boleh dijual, diurus, dipulihkan atau distruktur semula. Sebagai balasan, institusi itu menerima sukuk yang nilainya bergantung kepada kemampuan dan kesediaan kerajaan untuk menebusnya.
Aset nyata bertukar menjadi kertas hutang.
Tunai bertukar menjadi janji.
Bahagian paling membimbangkan terkandung dalam perenggan 3.13.50 laporan RCI.
Suruhanjaya memberi amaran bahawa sekiranya kerajaan gagal memenuhi komitmen jaminannya, Tabung Haji akan kembali terdedah kepada risiko pembayaran ingkar atau default payment.
RCI turut menyatakan tunggakan keuntungan yang diakru tanpa disandarkan kepada pembayaran tunai boleh mencecah RM7.65 bilion apabila tiba tempoh matang.
Maksudnya, keuntungan mungkin kelihatan besar dalam penyata kewangan tetapi belum tentu wujud dalam bentuk wang tunai yang boleh digunakan apabila diperlukan.
Ini bukan sekadar perbahasan mengenai kaedah perakaunan. Ini soal kecairan.
Tabung Haji bukan syarikat pelaburan biasa. Institusi itu mengurus simpanan pendeposit, operasi haji, bantuan kewangan haji, agihan keuntungan dan pelbagai tanggungjawab lain.
Sekiranya pengeluaran deposit berlaku secara besar-besaran, Tabung Haji tidak boleh membayar pendeposit menggunakan angka yang tercatat pada sekeping sukuk.
Pendeposit memerlukan wang tunai.
RCI memberi amaran bahawa kegagalan memenuhi komitmen tersebut boleh menyebabkan Tabung Haji terdedah kepada pengeluaran deposit tidak terkawal atau ‘bank run’.
Keadaan itu berpotensi memaksa kerajaan mengaktifkan jaminannya di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995.
Lebih serius, RCI menyatakan risiko berkenaan akan menjadi lebih signifikan dan rumit kerana liabiliti kepada pendeposit telah melebihi RM88 bilion setakat 21 Mei 2022.
Dengan kata lain, pelan yang dipersembahkan sebagai penyelamat boleh mewujudkan risiko kecairan yang lebih besar sekiranya kerajaan tidak menghormati komitmen kewangannya.
RCI seolah-olah telah melihat bahaya itu lebih awal iaitu Tabung Haji memegang kertas bernilai berbilion ringgit tetapi tidak mempunyai tunai yang sepadan.
Kebimbangan itu menjadi semakin relevan apabila sukuk pertama bernilai RM13.2 bilion tidak ditebus melalui pembayaran tunai apabila sampai tempoh matang.
Sebaliknya, sukuk baharu dikeluarkan bagi menggantikan sukuk lama, dengan kadar keuntungan yang lebih rendah.
Maksudnya, hutang asal tidak diselesaikan. Tempohnya hanya dipanjangkan dan bentuknya disusun semula.
Bayangkan seseorang menjual rumah bernilai RM100,000 kepada rakannya. Rakannya berjanji membayar RM200,000 selepas 10 tahun.
Apabila cukup tempoh, tiada pembayaran dibuat. Sebaliknya, rakannya mengeluarkan surat janji baharu,
“Tunggu 10 tahun lagi. Nanti aku bayar lebih.”
Di atas kertas, jumlah yang dijanjikan mungkin bertambah. Namun, penjual masih belum menerima wang walaupun rumahnya sudah lama diserahkan.
Itu bukan pemulihan.
Itu penangguhan.
Dalam bahasa rakyat, itu ‘bisnes taik minyak’.
Laporan RCI membuktikan isu Tabung Haji tidak boleh disederhanakan kepada slogan bahawa BN merosakkan dan PH menyelamatkan.
Pelan Pemulihan mungkin memperbaiki rupa penyata kewangan tetapi angka perakaunan tidak boleh menggantikan tunai sebenar.
Jika aset RM9.73 bilion telah dipindahkan, tunai yang diterima hanya RM500 juta, suntikan RM1.73 bilion setahun tidak dilaksanakan dan sukuk matang akhirnya diganti dengan sukuk baharu, maka adakah Tabung Haji benar-benar dipulihkan atau sekadar dipindahkan daripada memegang aset kepada memegang janji Kementerian Kewangan?
Tabung Haji tidak boleh diselamatkan melalui sidang media, slogan reformasi atau propaganda politik. Institusi itu memerlukan aset berkualiti, aliran pendapatan mampan, tunai mencukupi dan komitmen kerajaan yang ditunaikan mengikut jadual.
RCI telah memberi amaran. Tanpa pembayaran sebenar, risiko terhadap Tabung Haji bukan sahaja kekal, malah boleh menjadi lebih besar daripada sebelumnya.
Aset telah diambil. Janji telah dibuat. Bayaran pula terus ditangguhkan.
Jadi, siapa sebenarnya yang sedang merosakkan Tabung Haji?
