Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat menolak parti yang disifatkannya sebagai pelampau serta kelompok Melayu yang sanggup mengetepikan kepentingan agama dan bangsa demi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam serta kestabilan negara.
Beliau berkata, pendirian PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak berasaskan perebutan kerusi semata-mata, sebaliknya lahir daripada keperluan mengelakkan pertembungan sesama parti Melayu yang boleh memecahkan undi dan melemahkan kekuatan politik Islam.
Menurut Abdul Hadi, PAS sanggup mengorbankan kepentingan politiknya di Johor dengan melepaskan satu kerusi yang pernah dimiliki, menolak kerusi yang ditawarkan dan hanya menampilkan calon dalam jumlah kecil.
Jentera parti itu turut digerakkan untuk membantu Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Langkah tersebut, katanya, membuktikan bahawa PAS bersedia mengetepikan kepentingan kepartian apabila berdepan keperluan lebih besar untuk mengelakkan perpecahan undi Melayu.
Abdul Hadi menjelaskan, pendekatan di Negeri Sembilan dilaksanakan secara lebih terbuka apabila PN dan BN mencapai persefahaman untuk membahagikan kawasan pertandingan tanpa bertembung sesama sendiri.
“Adapun untuk PRN Negeri Sembilan, PAS bersama PN mengadakan kerjasama yang intim secara terbuka dengan BN.
“Kerjasama ini dilakukan dengan membahagikan kerusi yang tidak berlawanan antara BN dengan PN. Alasannya ialah demi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, landskap politik Johor berbeza daripada Negeri Sembilan. UMNO yang mengetuai BN masih mempunyai kedudukan kukuh di Johor, manakala Negeri Sembilan dikuasai Pakatan Harapan (PH) ketika kekuatan BN berada dalam keadaan lebih lemah.
Atas pertimbangan itu, PAS memilih bekerjasama dengan BN yang didominasi UMNO serta parti bukan Islam yang tidak bersifat ekstrem bagi menangani perpecahan politik dalam kalangan Melayu.
Kerjasama tersebut, menurutnya, bukan bertujuan menghapuskan identiti mana-mana parti, tetapi menyatukan kekuatan yang selama ini terpisah akibat persaingan politik.
Abdul Hadi turut mengimbas kegagalan usaha menukar pentadbiran Negeri Sembilan melalui akuan berkanun walaupun sokongan mencukupi didakwa pernah diperoleh.
Beliau berkata, gabungan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan lima ADUN PN ketika itu membentuk 19 kerusi, berbanding 17 kerusi yang dimiliki PH. Namun, usaha tersebut tidak menjadi kenyataan selepas dua ADUN Bersatu menarik sokongan.
“Maka, PAS wajib membantu setelah gagal mengambil alih kerajaan negeri melalui akuan berkanun, walaupun sudah mencukupi 19 kerusi iaitu 14 UMNO dan lima PN untuk menjatuhkan PH yang mempunyai 17 kerusi,” katanya.
Peristiwa itu, menurut beliau, menunjukkan bahawa kelebihan angka tidak mencukupi tanpa persefahaman yang kukuh, disiplin politik dan komitmen bersama.
Susulan perkembangan tersebut, PAS melakukan perubahan dalam PN, termasuk menerima penyertaan Parti Wawasan Negara, sebagai sebahagian usaha memperluas kekuatan politik menjelang PRN Negeri Sembilan.
Abdul Hadi turut menyuarakan kebimbangan terhadap sistem demokrasi dan pilihan raya yang didakwanya tidak seimbang, termasuk penggunaan jentera kerajaan oleh pentadbiran pusat PH.
“Dilihat adanya kemungkinan, dalam sistem demokrasi yang tempang dan pilihan raya yang tidak seimbang yang ditangani oleh kerajaan pusat Pakatan Harapan yang tidak malu menggunakan jentera kerajaan, menandakan akan berlaku ancaman kepada Melayu Islam,” katanya.
Beliau turut mendakwa wujud serangan Islamofobia di peringkat nasional dan antarabangsa yang memandang serong terhadap kebangkitan Islam.
Menurutnya, hubungan Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan kerana kedua-duanya mempunyai kaitan rapat dengan sejarah, budaya dan pembentukan kepimpinan negara.
“Maka, tolaklah parti pelampau dan Melayu luar tabii. Selamatkan negara bersama Islam.
“Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan kerana menjadi dua perkataan yang tidak boleh diasingkan, laksana menetak air tidak akan putus, dan biduk lalu kiambang bertaut semula,” katanya.
Bagi Abdul Hadi, PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pertandingan untuk menentukan kerajaan, tetapi medan rakyat menilai sama ada kepimpinan Melayu Islam mahu diperkukuh melalui persefahaman atau terus dilemahkan oleh perpecahan yang menguntungkan pihak lain.
