PRN Melaka: Berebut Nak Jadi Calon PKR di Klebang

Melaka Digest
By -
0



Belum pun Parti Keadilan Rakyat (PKR) memuktamadkan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang sudah menjadi perhatian apabila nama Farzana Hayani Mohd Nasir dan bekas Pengerusi PKR Melaka, Mohd Rafee Ibrahim, dikaitkan dengan percaturan pencalonan.


Nama Mohd Rafee atau Cikgu Rafee dilaporkan antara yang dipertimbangkan untuk Klebang, manakala Farzana yang lebih dikenali sebagai Nana turut disebut dalam perbincangan politik setempat.

Menurut sumber, enam cabang PKR Melaka menolak Farzana berdasarkan rekod peribadai yang ‘tidak cantik’.

Farzana bukan nama baharu dalam politik negeri. Pada PRN 2021, beliau mewakili PKR di Sungai Rambai ketika berusia 21 tahun dan memperoleh 1,356 undi atau 17.2 peratus dalam pertandingan empat penjuru. Kerusi berkenaan dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Siti Faizah Abdul Azis, dengan 3,801 undi.

Berdasarkan kekalahan yang lalu maka nama Cikgu Rafee kembali disebut.

Dalam perkembangan sama, nama Cikgu Rafee mendapat perhatian kerana sejarah penglibatannya dalam PKR dan gerakan Reformasi. Bekas pendidik itu pernah menerajui kepimpinan PKR Melaka, memegang jawatan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya serta bertanding di DUN Ayer Molek pada PRN 2021.

Beliau memperoleh 2,446 undi dalam pertandingan tersebut sebelum tewas kepada calon BN, Datuk Rahmad Mariman.

Pengalaman Rafee turut merangkumi persaingan dalaman parti. Pada pemilihan PKR 2022, beliau menewaskan Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan 488 undi berbanding 379 undi bagi jawatan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya. Bagaimanapun, keputusan berubah pada April 2025 apabila Shamsul meraih 1,995 undi berbanding 736 undi yang diperoleh Rafee.

Rekod itu menunjukkan bahawa pengalaman panjang tidak menjamin sokongan anggota secara berterusan. Sebaliknya, seseorang pemimpin perlu membuktikan kemampuan mengekalkan kepercayaan, mengurus jentera dan bekerja dalam organisasi meskipun berdepan persaingan.

Bagi PKR, Klebang bukan kawasan tanpa sejarah politik. Pada Pilihan Raya Umum 2018, calon parti itu, Gue Teck, memenangi kerusi berkenaan dengan 7,648 undi.

Namun, pada PRN 2021, kerusi tersebut beralih kepada BN apabila Datuk Lim Ban Hong memperoleh 5,028 undi berbanding Gue Teck yang meraih 4,152 undi. Calon Perikatan Nasional (PN), Bakri Jamaluddin, pula memperoleh 3,884 undi, dengan BN mencatat majoriti 876 undi.

Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, sebelum ini menjelaskan bahawa proses pemilihan calon melalui saringan peringkat cabang dan negeri sebelum dikemukakan kepada kepimpinan pusat untuk dimuktamadkan oleh Presiden parti.

Prosedur itu bermakna sokongan atau bantahan di peringkat cabang merupakan sebahagian daripada pertimbangan, bukannya keputusan akhir. Malah, pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan (PH) turut perlu dimuktamadkan sebelum calon rasmi diumumkan.

Menjelang pengumuman calon PH yang dijadualkan pada 18 Oktober, timbul persoalan mengenai ukuran yang akan digunakan kepimpinan PKR untuk menilai nama-nama yang disebut. Adakah pengalaman dan sejarah perjuangan diberikan pertimbangan lebih besar, atau kemampuan menarik pengundi baharu menjadi keutamaan?

Akhirnya, percaturan di Klebang akan memperlihatkan bagaimana PKR mengimbangi pengalaman, pembaharuan dan pandangan akar umbi dalam membuat keputusan.

Namun apa yang sedang kecoh sekarang adalah, Farzana bukan sekadar dikatakan sombong malah menggunakan Wan Azizah sebagai ‘kabel’ untuk menjadi calon PRN bagi kali kedua?

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)