Melaka Mundur Jika PN Berkuasa: Kerajaan Ceramah, Bukan Kerajaan Kerja

Melaka Digest
By -
0

Melaka bukan negeri biasa, ia simbol sejarah kebangkitan, perdagangan dan kemajuan yang menjadi nadi Semenanjung sejak beratus tahun. Namun kini, tatkala wacana politik tanah air agak celaru, muncul satu persoalan penting, adakah rakyat Melaka bersedia menyerahkan masa depan negeri ini kepada gabungan politik yang masih belum membuktikan kemampuan mentadbir secara konsisten dan berkesan?


Gabungan politik seperti Perikatan Nasional (PN) sering menampilkan diri sebagai kononnya penyelamat moral dengan berjanji membawa “politik bersih” dan “pentadbiran Islamik”. Namun, pengalaman pentadbiran mereka di negeri lain menunjukkan corak yang agak membimbangkan kerana boleh jelas.

Nampak arah tumpuan mereka lebih banyak diberikan kepada wacana dan ceramah agama berbanding kepada pelan tindakan ekonomi sebenar. 
 
Lihat sahaja apa yang ADUN Pembangkang lakukan, tak mampu terfikir dek akal 400-500 aduan rakyat datang dari kawasannya dan YB tersebut tidak melayan aduan tersebut sebaliknya sibuk melayan ceramah dan demostrasi yang sengaja beriat jahat serta mengelirukan. Baca di SINI.

YB tersebut tiada rasa simpati kepada penjaja yang seolah ditunggangnya? Baca di SINI.

Dalam konteks Melaka, model ‘Kerajaan Ceramah’ berisiko tinggi. Negeri ini hidup dengan denyut nadi pelancongan, industri ringan dan perkhidmatan. Ia bukan negeri yang boleh ditadbir dengan slogan dan retorik. Bila pentadbiran tersasar daripada fokus ekonomi maka pelabur mula berundur dan itu bermakna peluang kerja untuk anak muda Melaka turut terjejas.

Kelemahan terbesar PN bukan sekadar ideologi tetapi perpaduan dalaman. PAS dan parti-parti di dalam komponen PN sering berbeza pendekatan, satu mahu menonjolkan imej agama, satu lagi mahu tampil pragmatik. Di atas kertas kelihatan menarik. Dalam realiti, ia akan menghasilkan kerajaan yang lambat membuat keputusan kerana setiap dasar perlu ditapis oleh “kepentingan politik” terlebih dahulu.

Rakyat Melaka sudah melihat akibatnya di peringkat nasional apabila perubahan dasar kerap berlaku maka pelaburan terhenti dan keputusan kerajaan bertukar sebelum sempat dilaksanakan. Jika corak ini dibawa ke Melaka, negeri kecil ini akan menjadi mangsa eksperimen politik yang panjang dan akan memasuki zon ketidak tentuan.

Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, Melaka memerlukan kerajaan negeri yang fokus kepada kemasukan pelaburan, pemulihan sektor pelancongan dan penjanaan peluang kerja. Apa yang ditawarkan oleh PN dalam isu-isu ini masih kabur. Manifesto mereka sering bersifat umum, “sejahtera, bersih, makmur” tetapi tidak pernah diperdengarkan kepada rakyat Melaka dan disertai pelan pelaksanaan terperinci.

Rakyat tidak lagi boleh hidup dengan slogan. Mereka mahu tahu bagaimana kilang di Alor Gajah akan terus beroperasi, bagaimana pelaburan pelancongan di Banda Hilir boleh berkembang tanpa birokrasi politik dan bagaimana ekonomi digital boleh dibina di bawah pentadbiran yang memahami realiti dunia moden.

PN juga membawa risiko lain iaitu normalisasi retorik agama dalam setiap isu pentadbiran. Bila semua perkara dijustifikasi atas nama moral dan bukan kecekapan maka dasar negeri boleh tersangkut di persimpangan ideologi. Akibatnya, isu asas seperti kebersihan bandar, penyelenggaraan infrastruktur dan kualiti pentadbiran negeri akan dipandang ‘lekeh’ kerana perhatian kerajaan tertumpu kepada “perdebatan moral” yang tidak berkesudahan.

Melaka memerlukan kerajaan yang tahu bekerja, bukan kerajaan yang sekadar pandai berkempen. Ciri kecekapan, keterbukaan kepada pelaburan dan keupayaan memimpin pelbagai kaum ialah kekuatan utama yang perlu dipertahankan. Negeri sekecil Melaka tidak mampu berdepan dengan ketidaktentuan politik yang diimport daripada model pentadbiran yang gagal di tempat lain.

Melaka telah melalui pelbagai fasa sejarah dari zaman Kesultanan Melayu, ke penjajahan hingga ke Malaysia moden. Satu pengajaran tetap kekal: setiap kali negeri ini dipimpin oleh mereka yang lebih suka berbicara daripada bekerja, kemunduran pasti tiba.

Masa depan Melaka tidak boleh ditentukan oleh retorik. Ia mesti dibina atas realiti, kerja, dan kejujuran pentadbiran.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)