Gerakan politik di Melaka kembali hangat apabila tersebar gambar dan maklumat menyebut bekas Ketua Menteri, Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini muncul sebagai antara watak yang terlibat dalam sekretariat program bertemakan isu Perkara 153.
Kehadiran beliau dalam kelompok penganjur program berskala sensitif ini menimbulkan persoalan baharu tentang hala tuju dan motif sebenar di sebalik aktifnya beliau.
Yang lebih menarik, ketiadaan Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dalam kumpulan tersebut mencetus tanda tanya. Tambahan pula, kelibat Tamrin Ghafar turut muncul dalam kumpulan sama, menjadikan senarionya semakin sukar dibaca.
Spekulasi semakin rancak apabila ada yang melihat keterlibatan Rahim dalam program berbentuk isu Melayu-Islam ini sebagai langkah strategik untuk membina momentum dirinya sebagai “poster boy” menjelang PRN Melaka akan datang?
Lebih memeritkan keadaan, sumber menyebut bahawa PAS Melaka sendiri tidak selesa untuk menerima Mas Ermieyati sebagai ketua kempen PRN kerana isu ‘Lembu Betina’, walaupun beliau merupakan Pengerusi PN negeri. Ketidakserasian dalaman ini membuka ruang kepada tokoh alternatif dan Rahim Tamby Chik kini dilihat sebagai pilihan yang sedang mencuba nasib.
