Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk memfitnah.
Dalam keputusan penting ini, ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador dianugerahkan ganti rugi sivil berjumlah RM550,000 selepas mahkamah mendapati beliau menjadi mangsa fitnah serius melalui satu podcast yang disiarkan di YouTube.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Apandi memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dalam temu bual bersama Youtuber Nurpais Ismail pada Mei tahun lalu adalah bersifat fitnah, disengajakan dan merosakkan reputasi plaintif secara meluas. Lebih memburukkan keadaan, kedua-dua defendan langsung tidak mencabar saman tersebut apabila gagal memfailkan kehadiran, menyebabkan mahkamah meneruskan perbicaraan tanpa pembelaan.
Dalam penghakimannya, mahkamah mengambil kira keseriusan dakwaan, tahap penyebaran kepada puluhan ribu penonton, kedudukan Farhash dalam masyarakat serta keperluan untuk membersihkan nama baiknya.
Hasilnya, ganti rugi am sebanyak RM300,000, ganti rugi teladan RM100,000 dan ganti rugi teruk RM150,000 diberikan, selain faedah tahunan lima peratus bermula tarikh saman difailkan.
Mahkamah juga menolak sebarang kekaburan mengenai sasaran fitnah tersebut. Chegu Bard didapati menyebut nama Farhash secara jelas dan berulang kali, lengkap dengan butiran pengenalan termasuk peranannya sebagai bekas setiausaha politik Perdana Menteri dan kedudukannya dalam politik serta korporat. Ini, menurut mahkamah membuktikan tanpa ragu bahawa kenyataan tersebut merujuk secara langsung kepada Farhash.
Lebih penting, hakim menegaskan bahawa temu bual itu bukan perbualan peribadi yang dirakam secara tidak sengaja, sebaliknya satu serangan terbuka yang dirancang melalui media massa.
Nurpais pula didapati mempunyai kawalan editorial sepenuhnya malah memburukkan keadaan dengan menyoal secara terancang, memilih tajuk sensasi dan mengeksploitasi dakwaan tersebut demi tontonan, publisiti dan kepentingan komersial peribadinya.
Mahkamah menyifatkan tindakan kedua-dua defendan sebagai “eksploitasi sinikal” terhadap suasana politik yang tegang dengan niat mencetuskan kebencian, ejekan dan penghinaan terhadap plaintif.
Fitnah itu menggambarkan Farhash sebagai individu korup, tidak jujur dan tidak layak menerima pencapaiannya, sekali gus menjejaskan reputasi serta legasi politiknya walaupun beliau tidak lagi aktif dalam arena politik.
Keputusan ini menjadi peringatan keras bahawa era media sosial dan kandungan digital tidak mengatasi prinsip undang-undang. Sensasi, keuntungan dan agenda politik tidak boleh dijadikan alasan untuk menghancurkan maruah seseorang. Fitnah bukan sekadar kata-kata dan hari ini, mahkamah membuktikan bahawa fitnah ada harganya.
Botak kepala!
