Isu penyebaran maklumat peribadi melibatkan bekas Panglima Tentera Darat, Mohammad Hafizuddeain Jantan kini memasuki fasa serius apabila satu laporan polis dibuat berikutan dakwaan fitnah dan pendedahan data kewangan tanpa kebenaran di media sosial. Tindakan ini bukan sekadar soal peribadi tetapi menyentuh prinsip asas kedaulatan undang-undang, keselamatan data dan integriti institusi negara.
Menurut peguam beliau, Aizul Rohan Anuar beberapa hantaran Facebook yang dikaitkan dengan Chegubard didakwa memaparkan maklumat perbankan kononnya milik Hafizuddeain termasuk butiran transaksi yang jelas dinafikan kesahihannya.
Pendedahan maklumat kewangan peribadi tanpa kebenaran ini bukan isu remeh, ia merupakan satu kesalahan serius yang tertakluk di bawah undang-undang kewangan dan pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
Lebih membimbangkan, Hafizuddeain turut mengesyaki kemungkinan wujud pembabitan pihak dalaman daripada institusi kewangan atau agensi berkaitan seperti BNM, Maybank dan Bank Muamalat dalam kebocoran maklumat tersebut. Jika dakwaan ini benar, implikasinya amat besar kerana ia melibatkan kepercayaan awam terhadap sistem perbankan negara dan keselamatan data pelanggan.
Hafizuddeain juga secara tegas menafikan semua transaksi yang dipaparkan dalam maklumat yang disebarkan. Ini sekali gus menimbulkan persoalan jika maklumat itu palsu atau dimanipulasi, apakah motif sebenar di sebalik penyebarannya? Fitnah kewangan bukan sahaja mencalar reputasi individu malah boleh menjadi senjata politik yang merosakkan.
Selain laporan polis, tindakan undang-undang sivil juga sedang dipertimbangkan terhadap individu dan pihak yang terlibat. Langkah ini wajar dan perlu bukan untuk membungkam kritikan tetapi untuk menegakkan garis pemisah yang jelas antara pendedahan berfakta dengan serangan berunsur fitnah serta pencabulan undang-undang.
