Jemputan Mesyuarat MT PN: Siapa Yang Rancang Tidak Jemput Muhyiddin?

Melaka Digest
By -
0

Isu jemputan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional bukan isu kecil atau remeh. Ia menyentuh teras integriti, keabsahan perlembagaan dan kejujuran politik dalam sebuah gabungan yang kononnya menjunjung prinsip Islam dan amanah.


Persoalan yang kini berlegar bukan lagi siapa bakal Pengerusi PN tetapi siapa yang berani memintas perlembagaan untuk menentukan siapa patut hadir dan siapa patut disisihkan dari hadir ke mesyuarat MT tersebut.

Perlembagaan PN melalui Perkara 8.3(i)(b) menyatakan dengan terang bahawa perletakan jawatan Pengerusi hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi. Selagi kelulusan itu belum diberikan maka jawatan Pengerusi PN masih wujud dan penyandangnya masih Muhyiddin Yassin. Ini bukan tafsiran politik tetapi fakta bertulis yang tidak boleh dipadam dengan kenyataan media atau “pandangan samar undang-undang” yang dipilih sesuka hati.

Maka timbul persoalan atas alasan apa Tan Sri Muhyiddin tidak dijemput ke Mesyuarat MT PN? Jika alasannya kerana beliau telah menyatakan hasrat meletak jawatan, alasan itu tidak sah kerana perlembagaan sendiri menyebut perletakan jawatan itu belum berkuat kuasa. Hasrat tidak sama dengan keputusan muktamad.

Ada pula cubaan berselindung di sebalik Perkara 8.3(ii)(b) yang memperuntukkan pelantikan pemangku pengerusi semasa ketiadaan pengerusi. Namun ini lebih bermasalah. Ketiadaan bukan bermaksud sengaja tidak menjemput, bukan juga bermaksud “dianggap tiada” hanya kerana seseorang menyatakan niat meletak jawatan. Ketiadaan merujuk kepada halangan sebenar seperti uzur, berada di luar kawasan atau tidak mampu melaksanakan tugas. Mencipta ketiadaan melalui pengecualian jemputan adalah satu pelanggaran perlembagaan yang terang-terangan dan pembohongan yang nyata.

Lebih janggal, jika ada pihak berkeras bahawa Muhyiddin tidak perlu dijemput kerana kononnya beliau bukan lagi Pengerusi PN, tafsiran ini bukan sahaja songsang dari sudut perlembagaan, malah tidak beradab dari sudut konvensyen politik. Sebagai Presiden BERSATU, Muhyiddin secara konvensyen adalah Timbalan Pengerusi PN dan wajib dijemput ke mesyuarat tertinggi gabungan. Namun hakikatnya beliau masih Pengerusi PN, bukan bekas, bukan pemangku, bukan pemerhati.

Persoalan ini akhirnya membawa kepada satu kesimpulan adakah ada pihak yang sengaja mahu mengurus peralihan kuasa secara senyap tanpa kehadiran individu yang masih sah memegang jawatan? Jika benar, ini bukan sekadar salah urus tetapi manipulasi struktur demi kepentingan politik jangka pendek.

Islam mengajar amanah, bukan helah. Integriti bukan slogan tetapi keberanian mematuhi perlembagaan walaupun tidak menguntungkan. Lebih-lebih lagi selepas pertemuan dan persefahaman antara Presiden PAS dan Presiden BERSATU pada 16 Januari 2026, segala tindakan yang bercanggah dengan semangat itu hanya akan menimbulkan curiga, retak dan hilang kepercayaan.

Jika PN benar-benar mahu dilihat sebagai gabungan berprinsip, jemputan Mesyuarat MT tidak boleh dipilih ikut selera politik. Perlembagaan telah menetapkan jawapannya. Jadi siapa yang sedang merancang untuk tidak menjemput Muhyiddin dan apa sebenarnya yang mereka cuba sembunyikan?
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)