Perlembagaan Perikatan Nasional: Muhyiddin Masih Pengerusi

Melaka Digest
By -
0

Apa yang cuba dilabel sebagai khabar angin dan fake news kini terbukti bukan rekaan sebaliknya hakikat yang termaktub jelas dalam Perlembagaan Perikatan Nasional (PN). Isunya mudah tetapi sengaja dikelirukan iaitu Muhyiddin Yassin masih Pengerusi PN selagi Majlis Tertinggi (MT) PN belum meluluskan perletakan jawatannya.


Perlembagaan PN, Perkara 8.3(i)(b) menyebut dengan terang: “Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, perletakan jawatan itu hendaklah berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi…” Ayat ini tidak memerlukan tafsiran yang terlalu rumit. Maksudnya jelas, ‘belum’ berkuat kuasa sehingga diluluskan MT. Maka secara perlembagaan, Pengerusi PN masih wujud dan orangnya masih Muhyiddin Yassin.

Namun yang pelik, muncul pula “pandangan undang-undang” mendakwa peletakan jawatan itu sudah berkuat kuasa mulai 1 Januari dan mesyuarat MT hanya untuk pemakluman. Ini bukan sahaja songsang, malah bercanggah secara langsung dengan teks kandungan di dalam perlembagaan itu sendiri.

Pelik, bagaimana perkataan “berkuat kuasa selepas diluluskan” boleh diputar menjadi “sudah berkuat kuasa”? Ini bukan soal tafsiran, ini soal kejujuran membaca dan menafsir perlembagaan.

Lebih membingungkan, ada pihak seolah-olah takut jika Muhyiddin hadir dalam mesyuarat MT sama ada sebagai pengerusi atau ahli. Sepatutnya, perbahasan tidak berlegar pada “hemat” atau “pandangan” tetapi berdasarkan perlembagaan. Undang-undang dalaman parti bukan hiasan di dalam buku perlembagaan tapi ia wajib dipatuhi walaupun tidak selari dengan kehendak politik semasa.

PN tidak boleh mendakwa membawa politik berprinsip jika perlembagaannya sendiri dipulas untuk menghalalkan keputusan yang belum sah. Jika hari ini peruntukan jelas boleh diputar, esok apa lagi yang boleh diubah sesuka hati? Ini bukan sekadar krisis jawatan, ini krisis integriti.

Selagi MT PN belum meluluskan, Muhyiddin Yassin masih Pengerusi Perikatan Nasional. Muktamad.
 

 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)