Pengerusi PN: Calon PAS Bukan Ulama?

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan terkini, Pas menamakan calon bukan Presiden sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional. - Takiyuddin Hassan
 
PAS akhirnya membuka pekung yang selama ini cuba disembunyikan. Kenyataan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan bahawa PAS tidak menamakan Presiden sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional mendedahkan satu hakikat bahawa naratif “kepimpinan ulama” mula ditinggalkan apabila ia tidak lagi praktikal untuk kelangsungan kuasa.

Hakikatnya, jawatan Pengerusi PN bukan sekadar posisi pentadbiran. Ia adalah ‘poster boy PRU-16’, wajah utama gabungan dan batang tubuh siapa bakal dipasarkan sebagai calon Perdana Menteri. Abdul Hadi Awang memberikan alasan munasabah tetapi implikasinya besar iaitu nampak PAS sendiri mengakui Presidennya tidak lagi sesuai memimpin di peringkat tertinggi gabungan.

Nama yang disebut-sebut seterusnya ialah Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS. Namun tiba-tiba muncul hujah baharu “dia bukan ulama, tapi bolehlah”. Cukup sekadar boleh petik beberapa ayat al-Quran dan hadis, cukup untuk dijenamakan Islamik. Jika itu standard baharu PAS, maka kepimpinan ulama kini diturunkan taraf menjadi sekadar kosmetik politik.

Lebih menarik, kem penyokong Ahmad Samsuri Mokhtar pula semakin agresif. Samsuri mula dipasarkan bukan sekadar sebagai Pengerusi PN, malah bakal calon Perdana Menteri dengan sandaran PhD yang tiada kena mengena langsung dengan kebolehan mentadbir negara. Masalahnya Samsuri juga bukan ulama. Beliau teknokrat, pentadbir dan ahli politik moden yang selalu dilabel, tidak suka berkopiah, sesuatu yang selama ini PAS sendiri sering sindir dan tolak apabila datang dari parti lain.

Nampaknya ada percanggahan. Jika Tuan Ibrahim “boleh dipertimbangkan” walaupun bukan ulama dan Samsuri dipromosikan walaupun jelas bukan dari latar ulama, maka apa sebenarnya yang tinggal daripada slogan PAS tentang “kepimpinan ulama”?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)