Hadi Awang Tolak ‘Kolaborasi Agung’ Kerana Bukan Ideanya?

Melaka Digest
By -
0



Penolakan PAS terhadap gagasan Kolaborasi Agung yang dicetuskan UMNO bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ia seakan skrip lama yang diulang dengan bahasa baharu penuh istilah agama, sarat kiasan tapi miskin semangat penyatuan ummah yang sebenar.


Apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menolak usaha penyatuan parti-parti Melayu Islam atas alasan “ketetapan Allah”, persoalannya, adakah ini benar-benar pendirian seorang ulama atau sekadar justifikasi politik yang dibalut retorik agama?

Seorang ulama sejati memahami bahawa maslahah ummah menuntut kebijaksanaan dan keutamaan kepada perpaduan bukan pemisahan. Namun dalam naratif Hadi Awang, penyatuan hanya sah jika ia lahir dari ideanya sendiri?

Di bawah tafsiran sempit yang ditentukan PAS yang mereka anggap “bertafaqquh”. Selain PAS, yang lain sama ada ilmuwan, parti Melayu Islam atau tokoh agama berbeza pandangan dengan mudah dilabel “jahil”, “syaitan bisu” atau tidak layak berbicara soal Islam. Ini bukan ciri kepimpinan ulama yang menyatukan tetapi politik eksklusif yang memecah-belahkan.

Lebih menarik, gagasan Kolaborasi Agung yang dibawa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi secara jelas tidak menggugat kerajaan perpaduan dan tidak memaksa mana-mana parti membubarkan identiti masing-masing. Ia sekadar ruang perbincangan, jambatan awal ke arah penyatuan roh perjuangan Melayu Islam. Namun PAS menolaknya mentah-mentah. Kenapa terlalu alergik kepada idea penyatuan sedangkan Islam sendiri menuntut ta‘awun dan ijtima‘?

Jawapannya mungkin bukan soal prinsip tetapi soal dendam politik yang belum padam? Luka lama PAS terhadap UMNO. Usaha “Rumah Bangsa” yang diangkat Zahid Hamidi dengan mengajak semua kembali berbincang di bawah payung besar Melayu Islam nampaknya lebih mengancam dominasi politik PAS daripada menggugat aqidah atau prinsip Islam.

Ironinya, ketika PAS lantang berbicara tentang “perpaduan mengikut ketetapan Allah”, mereka sendiri bergelut dengan masalah dalaman Perikatan Nasional: kepimpinan tidak menentu, mesyuarat tergempar yang tidak kunjung tiba dan hubungan PAS–Bersatu yang rapuh. Bahtera yang didakwa bocor itu barangkali bukan kerajaan perpaduan tetapi kapal politik PAS sendiri yang sarat retorik.


Ulama sebenar memimpin dengan hikmah bukan dengan label dan kecaman. Ulama menyatukan bukan menentukan siapa layak Islam dan siapa “syaitan bisu”.


Apabila usaha menyatukan ummah ditolak hanya kerana ia bukan datang dari kelompok sendiri, maka yang terserlah bukan kebesaran ilmu tapi kecilnya jiwa politik.

Kolaborasi Agung mungkin belum sempurna tetapi menolaknya tanpa dialog, tanpa keterbukaan dan dengan sindiran agama yang memecah-belahkan maka itulah yang benar-benar mengkhianati roh penyatuan ummah.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)