Reaksi PAS terhadap kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO meletakkan Islam sebagai dasar parti mendedahkan satu perkara yang pelik, PAS sebenarnya sedang merasa tergugat. Jika benar PAS yakin dengan rekod dan pencapaian mereka, mengapa perlu gelabah dan melabelkan pendirian UMNO sebagai “kosmetik” dan “slogan kosong”?
PAS gemar bercakap soal “pelaksanaan Islam”, khususnya dengan menjadikan Kelantan sebagai etalase kejayaan tetapi selepas lebih 40 tahun mentadbir Kelantan, rakyat berhak bertanya apa yang benar-benar telah dilaksanakan?
Fakta yang sering dielakkan oleh PAS ialah sepanjang empat dekad memerintah, hanya dua masjid besar dibina oleh kerajaan negeri Kelantan. Itu pun satu daripadanya berdepan masalah serius dan akhirnya memerlukan campur tangan serta bantuan Kerajaan Persekutuan di bawah Datuk Seri Najib Razak untuk diselamatkan. Persoalannya, jika PAS begitu hebat dalam tadbir urus Islam, mengapa pembangunan asas rumah ibadat pun gagal diurus dengan baik? Belum lagi soal infrastruktur asas untuk rakyat seperti stesen bas utama, jalan-jalan negeri, bantuan kepada rakyat miskin dan seumpamanya.
Lebih memalukan, hudud yang dijanjikan sejak puluhan tahun lalu kekal sebagai bahan ceramah, bukan dasar yang benar-benar dilaksanakan. Setiap kali pilihan raya, hudud diangkat sebagai senjata politik. Selepas menang, ia kembali disimpan di dalam almari buruk milik PAS. Janji tinggal janji, slogan tinggal slogan dan rakyat Kelantan terus bergelut dengan masalah air, kemiskinan dan pembangunan yang ketinggalan.
PAS juga gemar menyerang UMNO dengan membandingkan penutupan premis judi, kawalan hiburan dan penjualan arak. Namun mereka sengaja mengabaikan realiti perlembagaan dan struktur Persekutuan. Islam sebagai agama Persekutuan termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan adalah hasil kerangka kenegaraan yang dibina oleh UMNO, bukan PAS. Institusi Islam, sistem mahkamah syariah, pendidikan Islam, pembangunan masjid dan hal ehwal agama di peringkat nasional berkembang pesat ketika UMNO menerajui kerajaan Persekutuan.
Hakikatnya, PAS tidak selesa apabila UMNO secara terbuka dan sah meletakkan Islam sebagai dasar parti melalui pindaan perlembagaan pada 2019 oleh Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO. Ini kerana selama ini PAS memonopoli naratif “Islam milik PAS”, seolah-olah parti lain tidak berhak bercakap tentang Islam. Apabila UMNO mengemukakan fakta sejarah dan kerangka perlembagaan, PAS panik lalu menuduh, melabel dan memesongkan isu.
Lebih ironik, PAS cuba mempersendakan jumlah kerusi Parlimen UMNO tetapi tidak pula bercakap tentang kegagalan tadbir urus di negeri-negeri yang mereka kuasai. Islam bukan diukur dengan slogan semata-mata tetapi dengan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat, pembangunan seimbang dan keupayaan mengurus amanah.
Islam bukan alat politik bermusim. Islam bukan lesen untuk menutup kelemahan pentadbiran dan Islam bukan hak eksklusif mana-mana parti.
Jika PAS benar-benar yakin dengan perjuangannya, jawab satu soalan mudah ini kepada rakyat,
selepas 40 tahun memerintah Kelantan, apakah legasi Islam yang benar-benar boleh dibanggakan selain ceramah, slogan dan janji hudud yang tidak pernah menjadi kenyataan?
