Jebon dalam PAS: Adakah Samsuri yang Dimaksudkan?

Melaka Digest
By -
0



Isu “jebon” kembali menghantui PAS, kali ini bukan sebagai sejarah lama yang cuba ditutup tetapi sebagai bayang-bayang dalaman yang semakin jelas mencorakkan pergeseran pemikiran di antara pemimpin PAS itu sendiri.


YDP PAS Sungai Buluh, Zaharudin Muhammad yang juga menantu Hadi Awang sekali lagi membuka lembaran sensitif ini dengan mengundang tafsiran, reaksi dan penafian daripada kepimpinan tertinggi PAS.

Dalam kenyataan terbaharunya, Zaharudin mengimbau kembali detik awal krisis dalaman PAS yang menyaksikan kemunculan kelompok pemimpin yang didakwa mahu mengubah haluan perjuangan parti. Ketika itu, menurut beliau, fokus PAS mula berganjak daripada agenda hudud dan negara Islam kepada pendekatan negara kebajikan dan ianya satu perubahan yang dianggapnya bukan sekadar evolusi strategi tetapi hasil tekanan dalaman yang terancang.

Zaharudin mendakwa beliau antara individu terawal yang mendedahkan apa yang disifatkan sebagai “konspirasi” tersebut, namun usahanya ketika itu berdepan tentangan. Kritikan terbuka katanya, dianggap merosakkan imej parti malah ada yang mendesak supaya isu itu dibincangkan secara tertutup. Di sinilah istilah “jebon” kembali dihidupkan dengan merujuk kepada kelompok yang didakwa takut pendedahan kerana “pekung” sebenar akan terbuka jika perbahasan dilakukan secara terbuka.

Kenyataan ini hadir ketika PAS dan Perikatan Nasional sedang berdepan ketidaktentuan kepimpinan khususnya berhubung masa depan gabungan itu pasca peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.

Zaharudin secara terbuka memberi amaran bahawa kesilapan percaturan politik termasuk kemungkinan menaikkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi baharu PN berpotensi membawa kesan besar termasuk kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen pada PRU akan datang.

Amaran itu bagaimanapun tidak diterima oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dengan menyifatkan pandangan Zaharudin sebagai tersasar daripada realiti politik semasa.

Ahmad Samsuri sendiri memilih pendekatan sinis dan menjauhkan diri dengan menyifatkan pandangan tersebut sebagai “tidak berbaloi” untuk dilayan malah menganggap Zaharudin sekadar “menggoreng” isu demi perhatian.

Sumber dalaman menganggap jika kritikan dalaman dianggap tidak relevan dan tidak penting, adakah PAS masih meraikan budaya nasihat dan muhasabah yang selama ini menjadi teras parti yang kononnya berlabel Islam ini?

Zaharudin yang juga bekas anggota Majlis Syura Ulama PAS Pusat, mempertahankan pendiriannya dengan menyatakan beliau berpegang kepada disiplin dan pengalaman lampau ketika mengetuai gerakan menentang “Jebon 1.0”.

Menurutnya, hujah yang pernah digunakan kumpulan tersebut kini mula berulang dengan wujud satu petanda yang pada hematnya tidak boleh dipandang ringan.

Persoalan kini bukan lagi siapa “jebon” yang dimaksudkan atau sama ada Ahmad Samsuri menjadi sasaran tersirat kerana yang ang lebih kritikal ialah hakikat bahawa PAS sedang berdepan pertembungan antara idealisme lama dan realpolitik baharu, antara autoriti ulama dan kepimpinan teknokrat, antara kesetiaan kepada sejarah perjuangan dan tuntutan kuasa semasa.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)