Jam Mewah Panglima Tentera Darat: CheguBard Menipu Atau Sengaja Mengelirukan Rakyat?

Melaka Digest
By -
0

Isu “jam tangan mewah” yang cuba digembar-gemburkan oleh Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard kini memakan diri apabila bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan bertindak membuat laporan polis. Dakwaan kononnya Hafizuddeain memakai jam tangan bernilai ratusan ribu ringgit jenama Patek Philippe ketika hadir ke mahkamah kini dipertikaikan secara terbuka dan keras oleh pihak peguam.


Peguam Hafizuddeain, Aizul Rohan Anuar menegaskan dakwaan CheguBard itu tidak benar dan mengelirukan, malah bersifat fitnah. Menurut beliau, jam tangan yang dipakai anak guamnya bukanlah jam mewah seperti yang didakwa sebaliknya jam rasmi keluaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak mempunyai sebarang jenama komersial apatah lagi Patek Philippe. Jam tersebut hanya memaparkan tulisan “Chief of Army”, sesuatu yang lazim bagi pegawai kanan tentera.

Lebih memburukkan keadaan, gambar yang digunakan oleh CheguBard dalam hantaran tular media sosial didakwa mudah dimanipulasi dan sengaja dimainkan untuk membentuk persepsi liar di kalangan rakyat.

Aizul Rohan secara tegas menyatakan beliau sendiri melihat jam berkenaan pada hari pertuduhan dan boleh mengesahkan bahawa ia bukan jam mewah seperti yang didakwa. Namun, persepsi sudah terlanjur dibina, api sudah dinyalakan, dan nama seseorang dijadikan bahan bakar politik.

Tidak terhenti setakat itu, laporan polis yang dibuat oleh Hafizuddeain di IPD Dang Wangi turut melibatkan isu lebih serius iaitu pendedahan butiran peribadi dan akaun perbankan yang didakwa disebarkan oleh CheguBard. Pendedahan dokumen sulit oleh pihak yang tidak berautoriti bukan sahaja tidak bermoral malah berpotensi melanggar undang-undang, satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan walaupun atas nama “kononnya membongkar kebenaran”.

Persoalan yang sedang berlegar, adakah ini pendedahan berfakta atau serangan politik murahan? Dalam usaha kononnya menjadi wira rakyat, CheguBard dilihat sanggup mengheret naratif separuh masak, memainkan emosi awam dan membina persepsi tanpa bukti sahih. Lebih berbahaya, apabila fakta tidak menyebelahi naratif, fitnah pula dijadikan senjata.

Hafizuddeain memang sedang berdepan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM145,000 dan lebih RM2.12 juta dan proses kehakiman sedang berjalan. Itu fakta yang tidak dinafikan. Namun memfitnah dengan dakwaan palsu dan mendedahkan dokumen sulit bukanlah keadilan tetapi kezaliman. Undang-undang ada salurannya, mahkamah ada prosesnya bukan media sosial yang penuh manipulasi.

Kes ini menjadi peringatan keras bahawa dalam politik, menipu dengan niat mempengaruhi persepsi awam akhirnya akan terbongkar. Jika benar CheguBard tersilap atau sengaja memesongkan fakta, persoalannya kini bukan lagi tentang jam tangan tetapi tentang integriti, niat dan tanggungjawab moral seorang ahli politik. Rakyat berhak tahu siapa yang bercakap benar dan siapa yang menjadikan fitnah sebagai modal politik.
 
Contoh fitnah menular:
 

 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)