Landskap politik nasional kini berdepan satu kemungkinan besar yang berpotensi mengubah keseimbangan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan. Menurut sumber politik yang rapat dengan rundingan peringkat tertinggi, wakil BERSATU dilaporkan telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kemasukan parti itu ke dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya berlaku kekosongan.
Perkembangan ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada keputusan Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia apabila Ketua Pemuda UMNO mengumumkan bahawa sayap Pemuda secara konsensus bersetuju agar UMNO–BN menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan. Walaupun keputusan tersebut belum dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi, isyarat politik yang dihantar adalah jelas bahawa UMNO sedang menilai semula kos politik kekal bersama kerajaan sedia ada.
Dalam ruang yang semakin terbuka ini, BERSATU dilihat bersedia untuk mengisi kuasa sekiranya UMNO benar-benar mengambil langkah keluar. Tindakan Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional, diikuti beberapa peletakan jawatan pimpinan negeri dilihat oleh pemerhati politik sebagai langkah penstrukturan semula yang strategik bukan sekadar soal dalaman parti tetapi persediaan menghadapi fasa politik baharu.
Lebih menarik, wujud juga ura-ura bahawa PAS tidak menutup pintu untuk menyertai Kerajaan Perpaduan sekiranya keadaan memaksa. Faktor kekangan dana pilihan raya yang semakin menekan serta keperluan survival politik jangka sederhana menjadikan pendekatan pragmatik semakin dominan mengatasi retorik prinsip. Politik idealisme, dalam realiti semasa, sering tunduk kepada matematik kuasa dan sumber.
Bagi BERSATU pula, penyertaan dalam kerajaan bukan sahaja dilihat sebagai jalan keluar daripada keterasingan politik, malah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai mekanisme untuk meredakan tekanan undang-undang yang membayangi kepimpinan tertinggi parti itu. Walau apa pun tafsiran, hakikatnya BERSATU sedang menghantar mesej bahawa mereka bersedia menjadi “rakan baharu” dalam susunan kuasa nasional.
Sekiranya senario ini menjadi kenyataan, Kerajaan Perpaduan bakal memasuki fasa kedua yang lebih kompleks, bukan lagi soal penyatuan pasca pilihan raya tetapi soal kelangsungan kuasa, rundingan kepentingan dan penstrukturan semula legitimasi politik. UMNO mungkin memilih jalan keluar untuk menyelamatkan identiti, manakala BERSATU dan PAS pula menilai jalan masuk demi kelangsungan.
Politik Malaysia sedang bergerak pantas ke arah realisme kuasa. Persoalannya kini bukan lagi siapa paling lantang di podium tetapi siapa paling bersedia membaca arah angin dan bertindak sebelum pintu benar-benar tertutup.
