PAS Nafikan Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional Dimansuhkan

Melaka Digest
By -
0

Isu pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akhirnya terbongkar sebagai naratif satu pihak sahaja apabila PAS secara terbuka menafikan dakwaan Muhyiddin Yassin. 
 
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tiada sebarang persetujuan malah tidak pernah dibincangkan berkaitan pemansuhan jawatan tersebut seperti yang didakwa dalam surat Presiden Bersatu yang tersebar kepada media.

Penafian tegas itu sekali gus mencalar kredibiliti kepimpinan Muhyiddin apabila PAS menyatakan isu berkenaan tidak dibangkitkan langsung termasuk dalam pertemuan pimpinan tertinggi pada 16 Januari 2026. Lebih penting, PAS menegaskan pendirian konsisten bahawa jawatan Pengerusi PN wajib dikekalkan selaras dengan Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN dan tidak boleh dimansuhkan secara sewenang-wenangnya.

Abdul Hadi menjelaskan, walaupun PAS mengambil maklum surat Muhyiddin bertarikh semalam yang kononnya mencerminkan komitmen memperkukuh kesepakatan PN, kenyataan berhubung pemansuhan jawatan Pengerusi PN adalah tidak benar dan mengelirukan.

Dakwaan Muhyiddin bahawa isu tersebut “tidak lagi berbangkit” disifatkan sebagai bercanggah dengan realiti perbincangan sebenar dalam PN.

Lebih memburukkan keadaan, surat yang sama turut mendakwa kononnya Bersatu dan PAS telah bersetuju dengan penstrukturan baharu PN dengan Bersatu menerajui Majlis Presiden manakala PAS mengetuai Jawatankuasa Eksekutif. Namun hakikatnya, PAS menegaskan bahawa sebarang pindaan struktur hanya boleh dibuat melalui perbincangan rasmi, cadangan teknikal bersama, serta pindaan perlembagaan yang sah bukan melalui pengumuman sepihak kepada media.

PAS juga memperincikan pendirian jelas berhubung tadbir urus PN dengan Majlis Presiden hendaklah berfungsi sebagai Badan Penasihat dan Pengawal Selia, manakala Majlis Tertinggi PN perlu berperanan sebagai Majlis Eksekutif yang melaksanakan urusan pentadbiran, perancangan dan strategi gabungan khususnya bagi menghadapi PRN dan PRU. Semua fungsi ini menurut Abdul Hadi mesti digariskan secara terperinci dan mematuhi idealisme serta hala tuju parti-parti anggota.

Pendedahan ini menimbulkan tanda tanya, mengapa Muhyiddin memilih untuk mendahului konsensus dengan kenyataan yang tidak dipersetujui?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)