Pengerusi PN Mesti Dari Presiden Parti: Hadi, Muhyiddin Perlu Undur Atau Dominic, P.Punithan

Melaka Digest
By -
0

Perikatan Nasional (PN) sedang berdepan krisis kepimpinan yang semakin kronik dan tidak boleh lagi diselindungkan dengan retorik kesatuan.


Isu utama bukan soal sokongan akar umbi semata-mata tetapi soal struktur kepimpinan tertinggi yang gagal mencerminkan kekuatan sebenar gabungan itu. Hakikatnya Pengerusi PN mesti datang daripada presiden parti teras bukan daripada pemegang jawatan lebih rendah yang tidak memiliki autoriti politik nasional.

Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin masing-masing adalah Presiden PAS dan Presiden Bersatu, namun selagi kedua-duanya enggan berundur atau menyerahkan peranan kepimpinan tertinggi gabungan kepada tokoh yang setara dari segi hierarki dan kekuatan politik, PN akan terus dilihat sebagai gabungan yang lemah dan bercelaru.

Melantik pengerusi daripada kalangan pemegang jawatan lebih rendah sama ada naib presiden, timbalan, apatah lagi tokoh luar yang tidak memiliki mandat akar umbi hanya akan menjadikan PN bahan jenaka politik.

Gabungan besar tidak boleh dipimpin oleh figura yang tidak setaraf dengan presiden-presiden parti komponennya. Ini asas politik, bukan soal sentimen.

Jika Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin benar-benar mahu menyelamatkan masa depan PN maka pengunduran segera adalah langkah paling rasional. Laluan kepimpinan perlu dibuka kepada tokoh yang masih segar, lebih pragmatik dan mampu berfungsi sebagai pemimpin gabungan nasional seperti Tuan Ibrahim Tuan Man atau Hamzah Zainuddin, dua figura yang lebih realistik untuk menyatukan jentera, berunding dengan rakan gabungan dan berdepan realiti politik semasa.

Terus berkeras mempertahankan jawatan sambil melantik pengerusi PN daripada kalangan yang lebih rendah hierarkinya hanya akan mengesahkan satu perkara iaitu PN tidak serius untuk menjadi kerajaan alternatif yang stabil.

Gabungan itu akan kekal dilihat sebagai kuat di pentas ceramah tetapi rapuh di meja rundingan dan gagal di mata rakyat.

Politik hari ini bukan lagi soal siapa paling lama memimpin atau paling lantang bersuara. Ia soal kredibiliti struktur, kejelasan rantaian kuasa dan keyakinan awam. Tanpa pembaharuan di peringkat tertinggi, PN bukan sahaja akan lemah tetapi berisiko menjadi tidak relevan.

Jika PN mahu terus hidup sebagai gabungan yang dihormati, keputusan besar mesti dibuat sekarang. Undur dengan bermaruah atau PN akan tumbang perlahan-lahan oleh kelemahan sendiri.

Peliknya kenapa Domic dan P.Punithan seolah tiada langsung dalam pemikiran anggota gabungan ini sedangkan keduanya adalah presiden parti.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)