Perkembangan mutakhir dalam PAS mendedahkan satu realiti yang semakin sukar untuk disembunyikanapabila perbezaan pandangan dalaman kini mula terdedah kepada umum.
Kenyataan keras pimpinan PAS terhadap Dr Mohd Zuhdi Marsuki bukan sekadar isu disiplin parti tetapi memberi gambaran bahawa dinamika kuasa dalam PAS dan Perikatan Nasional (PN) sedang memasuki fasa baharu yang lebih sensitif.
Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiman secara terbuka menegur tindakan Mohd Zuhdi yang kerap mengulas perjalanan parti dan pindaan perlembagaan PAS di media sosial. Teguran itu bukan biasa-biasa. Syahir menyifatkan pendekatan tersebut sebagai “amat menyinggung” apabila Mohd Zuhdi menuduh pindaan Perlembagaan PAS khususnya Fasal 15A dibuat secara “culas dan curang”.
Menurut Syahir, tuduhan tersebut bukan sahaja menyimpang jauh daripada fakta malah mencalar integriti proses parti yang menurutnya telah dilaksanakan secara tersusun, mematuhi perlembagaan serta peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Dalam konteks sebuah parti yang menekankan disiplin dan hierarki, tuduhan sedemikian dianggap melampaui batas adab berorganisasi.
Syahir mengingatkan bahawa ruang untuk berbeza pandangan bukan di Facebook tetapi melalui saluran dalaman seperti usrah, mesyuarat atau perbincangan terus dengan pimpinan pusat. Kenyataan beliau bahawa “Ahli di bawah tidak selesa” membawa mesej jelas bahawa kritikan terbuka kini dilihat sebagai faktor yang mengganggu kestabilan dalaman bukan lagi sekadar perbezaan intelektual.
Isu ini menjadi lebih panas apabila Syahir mendedahkan bahawa Mohd Zuhdi semakin aktif menulis selepas tidak terpilih sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dalam muktamar lalu. Tambahan pula, polemik politik di Perlis kebelakangan ini turut mempercepatkan ketegangan sedia ada. Dalam politik, masa dan konteks tidak pernah bersifat kebetulan ia sering memberi petunjuk kepada motif dan hala tuju sebenar.
Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man pada 10 Januari lalu juga dilihat sebagai isyarat langsung kepada situasi ini. Penegasan bahawa ahli perlu merujuk kepada pimpinan PAS Pusat bukan mantan pemimpin menandakan satu garis pemisah yang semakin jelas antara autoriti semasa dan suara bekas pemegang kuasa. Hakikat bahawa Dr Mohd Zuhdi pernah menjadi AJK PAS Pusat dan Setiausaha Politik kepada Tuan Ibrahim menjadikan mesej tersebut lebih simbolik dan berlapik tetapi tegas.
Di sebalik perbahasan mengenai pindaan perlembagaan dan kedudukan Mursyidul Am sebagai “amir”, persoalan di kalangan ahli setia, adakah ini sekadar pertembungan idea atau petanda awal perebutan pengaruh menjelang penstrukturan kuasa dalam PN termasuk jawatan Pengerusi?
