Perkembangan politik di Melaka kembali mencuri perhatian apabila kemasukan pemimpin kanan Parti Pejuang, Khairuddin Abu Hassan ke dalam PAS pada satu majlis Muafakat Nasional semalam mencetuskan pelbagai tafsiran strategik. Baca di SINI.
Langkah itu dilihat bukan sekadar penyertaan individu, sebaliknya berpotensi menjadi isyarat kepada satu pelan politik yang lebih tersusun.
Lebih menguatkan persepsi tersebut, bekas pengulas sukan dan wartawan TV3, Dahlan Maamor yang turut dikenali sebagai penyokong kuat Mahathir juga menyerahkan borang keahlian PAS dalam majlis sama.
Dahlan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Anthony Loke ketika Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua. Latar belakang ini menjadikan kemasukannya ke dalam PAS bukan sekadar simbolik tetapi sarat dengan implikasi politik.
Penganalisis politik tempatan berpandangan, perkembangan ini berkemungkinan mencerminkan pendekatan lama Mahathir iaitu menyusun kedudukan orang-orang yang dipercayai dalam parti atau gabungan yang sedang menunjukkan kelemahan dalaman. Dalam konteks semasa, BERSATU dilihat berada pada kedudukan paling rapuh dalam Perikatan Nasional, khususnya selepas berlakunya ketegangan berpanjangan dengan PAS di Perlis, selain isu perebutan jawatan Presiden antara Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin yang terus membarah.
Situasi bertambah genting apabila beberapa Pengerusi BERSATU di peringkat negeri meletakkan jawatan secara beramai-ramai. Perkembangan ini bukan sahaja menjejaskan struktur parti, malah menghakis keyakinan terhadap keupayaan BERSATU untuk mengekalkan kestabilan dalaman dan hubungan strategik dengan PAS.
Dalam kerangka ini, Melaka dilihat sebagai medan awal percaturan baharu sama ada untuk menilai penerimaan akar umbi atau sebagai tapak ujian bagi strategi jangka panjang menawan kerusi Parlimen dan DUN melalui wajah-wajah yang mempunyai jaringan lama dan kesetiaan politik tersendiri.
Persoalan utama kini bukan sekadar siapa yang masuk PAS tetapi untuk tujuan apa dan dengan mandat siapa. Dalam politik, isyarat kabur sering kali lebih bermakna daripada pengumuman terbuka dan di Melaka, isyarat itu semakin jelas dibaca sebagai tanda bahawa pertembungan dalaman Perikatan Nasional belum berakhir malah mungkin baru bermula.
Tambahan pula Annuar Musa nampak begitu rancak menggunakan Muafakat Nasional di dalam program yang sebenarnya adalah program pemimpin PAS. Malah mengenali Annuar Musa, beliau begitu licik di dalam politik ‘pecah dan perintah’ suatu ketika dulu.

