Proksi Mahathir Di Dalam BERSATU, PAS

Melaka Digest
By -
0


Suatu ketika dahulu, seni politik Tun Dr. Mahathir sukar dibaca kerana disusun secara berlapik dan berlapis. Namun hari ini, corak gerakannya semakin jelas dan dilakukan secara terbuka. Faktor usia dan masa yang semakin terbatas dilihat memaksa Mahathir meninggalkan politik berselindung, digantikan dengan langkah langsung dan agresif.


Pengakuan Mahathir dalam podcast Keluar Sekejap bahawa beliau sanggup menggunakan DAP untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak adalah pendedahan besar. Lebih mengejutkan, pengakuan itu bercanggah sepenuhnya dengan naratif bertahun-tahun yang beliau bina sendiri tentang kononnya “bahaya DAP”. Demi kuasa, prinsip lama diketepikan tanpa rasa bersalah.

Strategi sama kini jelas dimainkan dalam BERSATU. Azmin Ali dilihat sebagai proksi utama Mahathir. Hubungan rapat mereka bukan rahsia. Selepas PRU14, sebaik Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, Azmin segera dipanggil dan dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, jawatan kanan kabinet sehingga sanggup meninggalkan kerusi Menteri Besar Selangor. Langkah itu bukan kebetulan tetapi pelaburan politik jangka panjang.

Azmin kemudian mengukuhkan kedudukannya dalam BERSATU sehingga berjaya menduduki jawatan Setiausaha Agung parti. Malah pada satu ketika, beliau hampir menggantikan Hamzah Zainuddin sebagai Timbalan Presiden. Terkini, laporan mengenai pertemuan Azmin dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jepun menimbulkan persoalan besar. Ia bukan sekadar pertemuan sosial tetapi berpotensi menjadi sebahagian daripada percaturan politik yang lebih luas.


Dalam masa yang sama, peranan Chegu Bard tidak boleh dipandang ringan. Sebagai Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, tanggungjawab utamanya adalah memperkukuh parti di peringkat akar umbi. Namun realitinya, beliau lebih banyak menyerang Muhyiddin Yasin secara terbuka, malah mencadangkan Mahathir sebagai Pengerusi baharu Perikatan Nasional. Tindakan ini memperlihatkan misi sebenar Chegu Bard sejak awal iaitu mencetuskan kekacauan dari dalam.


Di PAS pula, strategi Mahathir semakin jelas. Kemasukan Khairuddin Abu Hassan dan bekas Setiausaha Akhbar Anthony Loke, kedua orang kepercayaan Mahathir sebagai ahli PAS secara rasmi menandakan fasa baharu campur tangan beliau. Tidak lagi berselindung, Mahathir menyusun barisan proksinya dengan peranan jelas, Azmin dan Khairuddin sebagai “banker politik”, manakala Chegu Bard berfungsi sebagai pencetus provokasi dan tekanan dan Dahlan Maamor akan bertindak sebagai tangan ghaib Mahathir dalam membina naratif bagi meletakkan Mahathir sebagai individu yang sentiasa relevan bagi PAS dan BERSATU?




Akhirnya, ramai percaya matlamat sebenar Mahathir masih belum berubah, membuka laluan kepada anak kesayangannya, Mukhriz Mahathir. Nama Mukhriz dijangka muncul di posisi strategik dalam sebarang pakatan atau penjajaran baharu antara PAS dan BERSATU.


Ini bukan gerakan rawak. Ia adalah strategi lama Mahathir yang diberi wajah baharu. Bezanya kini, segalanya dilakukan secara terbuka. Siapa yang masih gagal membaca permainan ini, berisiko menjadi bidak dalam catur politik yang sama.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)