Seramai 51 Orang Asli daripada 14 keluarga di Bukit Bauk, Dungun kini berdepan nasib tragis apabila diarahkan keluar dari rumah mereka sendiri atas alasan tanah tersebut milik kerajaan negeri dan bakal dibangunkan sebagai Institut Al-Quran. Atas nama pembangunan dan manifesto, komuniti kecil ini menjadi mangsa pertama tanpa jawapan jelas tentang masa depan mereka.
Lebih mengundang persoalan, projek Institut Al-Quran tersebut adalah antara manifesto kerajaan negeri yang dipecah tanah pada 2022 dan diisytiharkan siap 100 peratus. Namun realitinya, sehingga hari ini pembinaan langsung belum bermula. Tiada tapak aktif, tiada struktur, tiada garis masa tetapi pengusiran sudah berjalan. Adakah manifesto hanya sebagai alasan?
Lebih membimbangkan, tiada maklumat didedahkan tentang siapa arkitek projek ini, sama ada kelulusan pelan bangunan telah diperoleh atau bagaimana kajian impak sosial dilakukan. Namun yang pasti, keluarga Orang Asli sudah diminta beredar seolah-olah mereka sekadar halangan fizikal yang boleh dialihkan sebelum kertas kerja disiapkan.
Persoalan masih tidak dijawab, ke mana mereka akan pergi?
Adakah kerajaan negeri telah menyediakan penempatan alternatif yang sesuai dan selamat untuk mereka atau mereka hanya diminta keluar dahulu, selebihnya “nanti kita fikirkan”?
Alasan bahawa tanah tersebut adalah tanah kerajaan kerana tidak bergazet tidak boleh dijadikan lesen untuk bertindak tanpa ihsan. Undang-undang mungkin memberi kuasa tetapi keadilan menuntut kebijaksanaan dan perikemanusiaan. Orang Asli bukan setinggan sementara, mereka adalah komuniti asal yang telah lama mendiami kawasan tersebut.
Perbandingan dengan negeri Pahang mendedahkan betapa jauhnya jurang pendekatan. Di Pahang, kerajaan negeri menubuhkan Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) sebagai pusat sehenti bagi memantau kebajikan, pembangunan dan kelangsungan hidup komuniti Orang Asli. Lebih penting, walaupun banyak tanah Orang Asli tidak bergazet, kerajaan negeri secara aktif mewartakan kawasan perkampungan sebagai Rizab Orang Asli mengikut Seksyen 6 Akta Orang Asli 1954.
Pada tahun 2025 sahaja, 12 kampung Orang Asli di Jerantut telah dipersetujui untuk diwartakan. Kerajaan Pahang juga menyediakan Rumah Rakyat Pahang secara percuma khusus untuk komuniti ini, bagi memastikan mereka tidak dipaksa berpindah-randah atas nama pembangunan.
Inilah contoh pembangunan yang berimbang yang membangun tanpa menghapuskan, memajukan tanpa menindas.
Isu di Dungun bukan soal menolak pembangunan atau institusi agama. Tiada siapa menentang Institut Al-Quran tetapi apabila pembangunan agama dimulakan dengan mengusir komuniti asal tanpa pelan kebajikan yang jelas maka banyak persoalan yang timbul.
Kerajaan Terengganu wajar tampil memberi penjelasan terbuka kerana pembangunan yang mengorbankan yang lemah bukan kemajuan dan jauh dari tindakan pemimpin yang mengaku Islam.




