Tiga Bekas ADUN PAS Perlis Dilarang Berjumpa Muhyiddin?

Melaka Digest
By -
0

PAS Perlis sedang terperangkap dalam krisis paling memalukan apabila ADUN Beseri, Haziq Asyraf menyentuh soal disiplin, wala’ dan kesetiaan kepada parti berikutan tiga bekas ADUN yang telah dipecat oleh PAS boleh muncul dalam pertemuan bersama Mursyidul Am PAS dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin?


Menurutnya mereka yang semalam dihukum sebagai perosak parti, hari ini berdiri selesa dalam sesi bergambar bersama tokoh tertinggi gabungan. Jika ini bukan mesej bercanggah, apa lagi namanya?

Lebih memalukan, Haziq mendedahkan bahawa individu yang sama pernah mengajaknya melakukan “benda jahat” dan menariknya ke jalan khianat terhadap parti. Namun individu itu kini bebas berada dalam majlis penuh senyuman dan kemesraan. Di manakah garis merah disiplin PAS yang selama ini dilaungkan?

PAS selama ini membina imej sebagai parti paling keras dalam soal wala’ dan ketaatan. Ahli diasuh bahawa kesetiaan kepada parti mengatasi segalanya tetapi episod ini tidak seperti yang digambarkan.

Penjelasan Ketua Dewan Ulama PAS Perlis pula hanya menambah luka. Alasan bahawa pertemuan itu sekadar “kenduri”, “ziarah” dan “keakraban lama” langsung tidak menjawab persoalan utama. Jika benar mereka pengkhianat, mengapa diraikan? Jika mereka masih saudara, mengapa dipecat? PAS tidak boleh memilih satu jawapan ikut keselesaan politik semasa.

Lebih kelakar, PAS menuduh peristiwa Perlis sebagai pengkhianatan besar sehingga sanggup memutuskan hubungan, mendesak Muhyiddin berundur sebagai Pengerusi PN dan mengisytiharkan mahu mengambil alih kepimpinan gabungan. Namun apabila Muhyiddin sendiri datang, “pengkhianat” itu tiba-tiba menjadi tetamu.

Di sinilah hipokrasi politik PAS terserlah. Ketika kuasa tergugat, istilah pengkhianatan digunakan untuk menghukum tetapi apabila realiti politik menuntut kelunakan, prinsip mula dilenturkan atas nama ukhuwah.

Paling keliru bukan musuh PAS tetapi ahli PAS sendiri. Mereka yang diasuh dengan konsep wala’ mutlak kini dipaksa menelan hakikat bahawa pengkhianatan boleh dimaafkan, asalkan tidak mengganggu susunan kuasa atasan.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)